MEMAAFKAN DIRI ANDA
Memaafkan seseorang bukan satu perkara yang mudah apatah lagi memaafkan diri anda sendiri. Pernahkah anda melakukan satu kesilapan yang mana anda menghukumi diri anda dengan kata-kata sebegini, ”Macam mana aku boleh melakukannya?! Akulah orang yang paling tak berguna dalam dunia ini. Akulah orang yang paling bodoh! Apa kena dengan aku ni?!” Kadang-kala kita menjatuhkan hukuman pada diri sendiri lebih daripada orang lain, sedangkan Tuhan lebih memahami dan memaafi.
Walau bagaimanapun, memaafkan diri kita sendiri bukanlah bermaksud memberi alasan kepada diri kita sendiri. Dengan tidak memaafkan diri kita sendiri, kita akan menyekatkan diri dari mencapai sebarang kemajuan ataupun kejayaan. Ini adalah kerana kita sentiasa membiarkan kesilapan silam menghantui dan melemahkan diri.
Jadi bagaimanakah caranya untuk kita membebaskan diri dari meratap kesilapan yang pernah kita lakukan?
1. Pelajarilah cara untuk memaafkan. Ia bukan sahaja melibatkan seseorang itu meminta maaf tetapi juga memerlukan kesediaan untuk mendengar dan memahami kesedihan yang dialami.
2. Fikirkan tindakbalas yang mungkin anda tunjukkan pada seseorang yang melakukan kesilapan yang sama. Adakah anda akan menghukumi orang itu sebagaimana anda menghukum diri anda? Ingatlah reaksi anda apabila anda tahu bahawa orang kesayangan anda bertindak sama seperti apabila anda memarahi diri anda sendiri.
3. Akuilah kesilapan anda dan bertaubat. Ini boleh dilakukan sebagai salah satu proses pemaafan. Pengakuan dan bertaubat dapat membantu dalam konteks keagamaan ataupun sebagai satu langkah untuk meluahkan perasaan kepada seseorang yang boleh dipercayai seperti kaunselor, guru agama atau sahabat yang boleh dipercayai. Pengakuan benar-benar membantu dalam meluahkan rasa malu dan bersalah yang terpendam dalam diri.
4. Cintailah diri anda. Sebelum kita boleh mencintai orang lain, kita perlulah mencintai dan menghormati diri kita sendiri. Bagaimanakah kita menjaga diri kita dari aspek fizikal, mental, emosi dan rohani? Adakah kita benar-benar menjaga keempat-empat aspek tersebut dengan sempurna? Bolehkan kita benar-benar mengatakan bahawa kita mencintai dan menghormati diri kita sendiri?
No comments:
Post a Comment